KEUNIKAN RUMAH TRADISIONAL MASYARAKAT BUGIS | Semasa MY mengikuti rombongan Sahabat Media ke Kampung Sungai Kuali di mukim Kukup, Johor, baru-baru ini, MY telah berpeluang untuk ke sebuah rumah tradisional yang dikatakan dari keturunan masyarakat Bugis di Johor yang mana pada papan alamatnya tertera perkataan rumahSeri Salewangeng.
![]() |
Rumah Seri Salewangeng_ Foto kaio.my |
Rumah Tradisional Bugis ini merupakan milik Hajah Indok atau nama sebenarnya Indok Chichuk Daing Hadadek, 70 yang popular di kawasan itu selepas perasmiannya pada tahun lalu. Kehadiran kami Sahabat Media telah disambut mesra oleh Hajah Induk dan anak beliau Abd. Hadi Ambok Intang, 44.
Siapa sangka bahawa Rumah Tradisional Masyarakat Bugis ini telah menelan belanja pengubahsuaiannya sehingga mencecah RM2.3 juta . Susunan perabot jati yang berusia ratusan tahun kelihatan begitu serasi dengan permukaan dinding kayu yang telah dikilatkan dengan rapi.
Di setiap penjuru, terpampang potret-potret tokoh Bugis yang menaikkan lagi aura klasik di rumah berkenaan. Selain kipas dan lampu yang tergantung, hiasan dalaman rumah itu langsung tidak dicemari peralatan moden seperti yang biasa dilihat di rumah orang Melayu pada masa sekarang.
Menurut Abd. Hadi, rumah Seri Salewangeng ini telah dibina sepenuhnya menggunakan kayu belian yang diimport khas dari Jambi dan Kalimantan, Indonesia. Kayu belian ini dikatakan sejenis balak yang tahan sehingga beratus tahun dan tidak lut dimakan anai-anai. Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan kayu tersebut bukan sesuatu yang mudah dan semestinya sangat mahal.
Walaupun tidak dibuka kepada umum seperti muzium, rumah Seri Salewangeng pada masa kini menerima kunjungan pelawat yang ingin mengenali adat warisan budaya Bugis.
Sementara itu, pemiliknya Indok Chichuk berkata, beliau turut menerima kunjungan daripada penyelidik dan pengkaji sejarah dari dalam dan luar negara yang datang untuk mendokumentasikan sejarah Bugis. Jadi, sebagai keluarga Bugis, mereka boleh kongsikan adat dan budaya mereka seperti perkahwinan, makanan malah perabot, pakaian dan senjata Bugis berusia ratusan tahun masih disimpan.